Pertama, jadikan perkataan syahadah iaitu La ilaha illa Allah sebagai kalimah awal yang didengari dan disebut oleh anak-anak. Seruan ini terbukti dalam gesaan Baginda SAW agar anak-anak di sambut menjelang kelahiran dengan kalimah-kalimah azan, yang turut mengandungi ucapan syahadah.
Selain dari azan, para ibu bapa juga harus berikhtiar agar anak-anak mampu menyebut perkataan ‘Allah’. Di samping anak-anak diajar perkataan-perkataan ‘susu’, ‘air’, ‘mama’, ‘abah’ atau sebagainya, ajarlah bersama-sama perkataan ‘Allah’.
Walau pun sebutannya agak sukar di peringkat awal, namun kebolehan anak itu menyebut perkataan ‘Allah’ akan menjadi satu tapak kukuh dalam usaha tarbiyah keimanan. Bahkan, perkataan ‘Allah’ ini tentunya merupakan zikir mempunyai kelebihan yang boleh membawa kepada ketenangan dan keceriaan kepada anak-anak, atau mungkin seribu macam kehebatan yang kita tidak sedari.
Selepas dibiasakan perkataan ‘Allah’, ibu bapa boleh teruskan mengajar anak-anak agar mampu menyebut kalimah syahadah. Seterusnya apabila anak-anak itu sudah boleh memahami, ibu bapa perlu pula menerangkan maksud kalimah syahadah itu dengan cara yang mudah difahami.
Kedua, Rasulullah SAW meminta agar anak-anak didedahkan dengan sempadan hidup iaitu soal halal dan haram. Anak-anak perlu didedahkan dengan istilah-istilah berikut iaitu: ‘baik’ dan ‘tak baik’; istilah ‘Allah suka’ dan ‘Allah tak suka’; istilah ‘masuk syurga’ dan ‘masuk neraka’; iatilah ‘dosa’ atau ‘pahala’; atau istilah ‘boleh’ dan ‘tak boleh’. Istilah-istilah ini bertujuan untuk memahamkan anak-anak bahawa kehidupan ini mempunyai batas-batas yang ditetapkan oleh Allah, dan setiap apa yang dilakukan mempunyai implikasi dosa pahala.
Sesetengah pihak mungkin berpandangan bahawa teknik ini akan menyekat ruang fikiran anak-anak, dan membantut pemikiran kritis dan kreatif. Pandangan ini adalah tidak tepat kerana, batas-batas yang ditetapkan kepada anak-anak ini adalah sesuatu yang bersumberkan dari Allah yang mencipta manusia.
Batasan itu bukannya sesuatu yang sengaja dicipta oleh ibu bapa dan digunakan secara sewenang-wenangnya. Bahkan ibu bapa sepatutnya menggalakkan anak-anak berfikir secara kreatif dan terbuka dalam perkara-perkara yang tidak dibataskan oleh syara’. Perlu diingat bahawa pembinaan keimanan melalui pengawasan kepada hukum Allah perlu diterapkan sejak anak masih kecil. Sikap liberal yang berlebihan akan menyebabkan anak-anak itu hilang pedoman, dan teraba-raba mencari laluan hidup apabila besar nanti.
Apa yang lebih penting, gesaan supaya anak-anak didedahkan dengan halal dan haram ini datang sendiri dari Baginda SAW yang bersabda sebagaimana diriwayatkan dari Ibnu Abbas, maksudnya:
“Beramallah dengan ketaatan kepada Allah, dan jauhilah maksiat kepada Allah, dan suruhlah anak-anak kamu supaya mematuhi perintah-perintah (Allah), dan menjauhi larangan-larangan (Allah), maka itulah pemeliharaan diri kamu dan diri mereka daripada azab api neraka” (Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir)
Ketiga, bagi mengukuhkan iman kepada Allah, Baginda SAW meminta agar ibu bapa menyuruh anak-anak beribadat sejak dari kecil lagi. Seruan ini terbukti melalui sabdanya sebagaimana riwayat daripada Ibnu Amru bin Al-Ash r.a. bahawa Baginda bersabda, maksudnya:
“Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun, dan pukullah dia demi sembahyang pada usia sepuluh tahun, dan pisahkan antara mereka di tempat tidur.” (Al Hakim dan Abu Dawud)
Keempat, Rasulullah SAW meminta agar para sahabat dan sekalian umat Islam mendidik anak-anak supaya mencintai Rasulullah SAW serta keluarga Baginda. Kecintaan kepada mereka akan mendorong anak-anak untuk mengatahui lebih lanjut kisah kehidupan Baginda dan keluarganya. Seterusnya, anak-anak akan terbuka hati untuk menjadikan Baginda dan anggota keluarganya sebagai contoh teladan dalam kehidupan.
Kelima, Baginda juga menggalakkan umat Islam untuk mengajar anak masing-masing membaca dan menghayati al-Quran. Kecintaan kepada al-Quran adalah asas kepada ketekunan dalam menuntut ilmu dan mengamalkannya mengikut panduan Islam. Kelaziman bacaan al-Quran juga akan dapat mendekatkan diri anak-anak kepada Allah seterusnya menyuburkan lagi iman anak-anak.
Suruhan-suruhan Baginda SAW berkaitan mencintainya serta pembacaan al-Quran ini terkandung dalam sabda Baginda daripada Ali bin Abi Talib k.w. bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya:
“Ajarkanlah anak-anak kamu tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, dan mencintai keluarganya, serta membaca al-Quran. Kerana para pembaca al-Quran berada di sisi arasy Allah bersama-sama para anbiya’Nya dan ashfiya’Nya pada hari tida naungan melainkan naungan Allah sahaja.” (Al-Tabarani)
Kesimpulannya, anak-anak memerlukan didikan dan perhatian dari ibu bapa terutamanya dari sudut tarbiyah ruhani. Dalam melaksanakan tuntutan itu, lima panduan yang diberikan ini, seharusnya menjadi rujukan utama bagi memastikan usaha tarbiyah itu berjalan dengan berkesan.
Abi Muslih & Mama Farhah
Lagu barang Naik....
13 years ago
0 comments:
Post a Comment