web 2.0

10 TAHUN PTG

10 TAHUN PTG

Thursday, February 11, 2010

PERMATA MENGANCAM PENDAPATAN SWASTA



KUALA TERENGGANU – Dengan peruntukan yang ‘mewah’ Taska PERMATA yang dimulakan dengan program Permata oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kini menjadi ancaman kepada pengusaha Taska persendirian negeri ini
Pada 11 Januari, 2009, saat-saat hampir menjelang Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Rosmah yang kini di gelar sebagai ‘ibu Permata’ mengumumkan program Permata ciptaanya mendapat peruntukan sebanyak RM77 juta.
Lima bulan selepas itu, pada 9 Jun, 2009, Bernama melaporkan program Permata Rosmah telah diperuntukkan pula RM150 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi.

Pada bulan Oktober, 2009 pula, suaminya Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah mengumumkan peruntukan untuk program isternya itu, dalam pembentangan Bajet 2010 sebanyak RM100 juta.

Di negeri Terengganu, program Permata akan dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu (YPK).

Menurut Laman Rasmi YPKT, Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu (YPKT) Kamarulzaman Awang berkata, Taska Permata dibangunkan oleh YPKT dengan peruntukan khas sebanyak RM6.4 juta.

Dengan itu, sebanyak 32 Taska Permata telah mula dibangunkan disetiap DUN sejak Mac tahun lalu, disamping 43 buah yang Taska sedia ada yang telah beroperasi dibawah YPK.

Kemunculan begitu banyak Taska dibawah kelolaan kerajaan telah menjadi saingan dan membimbangkan pengusaha Taska persendirian.

Malah, seramai 100 orang pengusaha Taska persendirian yang bernaung dibawah Persatuan Pengusaha Taska (Pengasuh) melihat kemunculan Taska Permata akan mengancam ‘periuk nasi’ mereka.

Seorang pengusaha Taska yang menghubungi Buletinonline berkata, perkhidmatan ‘percuma’ yang disediakan oleh Taska Permata menyebabkan saingan dalam industri tersebut menjadi ‘berat sebelah’.

”(Taska) Permata menawarkan perkhidmatan percuma kepada anak-anak bagi ibu bapa yang berpendapatan RM1500 kebawah, manakala ibu bapa yang mempunyai pendapatan lebih RM3000 sebulan dikenakan yuran RM50 sebulan,

”jika tidak ada satu garis panduan dan pemantauan, kami akan ‘gulung tikar’,”katanya yang tidak mahu dikenali.

Beliau berkata, terdapat 115 buah Taska persendirian di negeri Terengganu terpaksa bersaing, merebut pasaran yang sama.

Katanya peruntukan ‘mewah’ yang diberikan, Taska Permata bukan sahaja percuma tapi berupaya menggaji guru-guru berkelulusan Ijazah dan mengadakan perlbagai keperluan lain seperti taman mainan kanak-kanak dan permainan serta alatan yang lebih baik.

”Jika dibuat perbandingan, mesti ibu bapa memilih Taska Permata daripada Taska kami, bukannya khidmat kami tidak baik,

”(tapi) ‘modal’ kami kecil dan tidak mampu membiayai pelbagai kemudahan yang disediakan di sana (Taska Permata),”jelasnya.

Oleh yang demikian, beliau berharap satu polisi atau garis panduan dapat disediakan untuk memastikan Taska persendirian ‘terus bernafas’.

Walaupun, katanya, seolah-olah ada persefahaman dari pihak YPK, atas beberapa perkara, namun ia hanya ‘janji mulut’ yang tidak ada jaminan secara ‘hitam putih’.

”Saya dimaklumkan, YPK menetapkan beberapa syarat kemasukkan anak-anak ke Taska Permata, antaranya mereka (YPK) tidak akan menerima (bekas) pelajar-pelajar dari Taska lain, namun ia hanya secara lisan,”katanya.

SUMBER RASMI:http://buletinonline.net

0 comments: